 
                
Anak adalah amanah dari Allah SWT. Ibu bapa wajib mendidik amanah 
tersebut menjadi insan mulia mengikut jalan yang benar dan diredai. 
Namun lumrah seorang kanak-kanak yang semulajadi memiliki sifat-sifat 
nakal sepanjang perjalanan tumbesaran mereka kadang kala menguji 
kesabaran ibu dan ayah.
Jangan cepat melenting menghadapi kerenah anak-anak kerana sebagai 
seorang Muslim kita sebenarnya mempunyai penyelesaian yang boleh 
dijadikan amalan seharian. Berdoalah kerana doa itu senjata orang 
mukmin.
Dalam Islam kita disuruh berdoa untuk memohon apa yang dihajati. Doa 
juga memainkan peranan penting untuk memohon kesejahteraan dan 
kebahagiaan diri sendiri dan keluarga. Sebagai ibu bapa, kita perlu 
sentiasa mendoakan untuk kebaikan anak dan tidak mengatakan yang 
buruk-buruk kepada anak-anak kerana apa yang lahir dari mulut seorang 
ibu adalah satu doa.
- Doa untuk semua
Setelah semua usaha dilakukan untuk meminta sesuatu, kita diminta 
berdoa kepada Yang Maha Esa agar dimakbulkan apa yang telah diusahakan. 
Demikian yang harus kita lakukan sebagai ibu dan ayah kepada zuriat 
sendiri.
1. Amalkan membaca ‘Ya Latif’ sebanyak tujuh kali dan hembuskan di kepala anak sewaktu mereka sedang atau hendak tidur.
2. Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran, baca zikir
 Ya-Latif sebanyak 129 kali diikuti surah as-Syura ayat 19 yang 
bermaksud:
“Allah itu lemah lembut kepada hamba-hambaNya: Ia mengurniakan kepada 
siapa yang dikehendaki. Padahal, Dialah Yang Kuat, Yang Gagah.”
Sebaiknya dibaca selepas subuh iaitu dibaca pada air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.
3. Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa Surah al- Imran ayat 200 yang bermaksud:
“ Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah dan lawanlah sabar, dan 
bersedialah dan berbaktilah kepada Allah supaya kamu mendapat kejayaan.”
4. Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya 
Latiff dan Ya Rahman berulang-ulang. Kesemua ini adalah doa pelembut 
hati.
5. Amalkan juga membaca Surah Toha ayat 1-8, Surah ar-Rahman ayat 1-4 
dan surah al-Insyirah dibaca dalam aktiviti lain seperti semasa menemani
 anak mengulangkaji buku-buku dan membaca al-Quran.
6. Bagi ibu-ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik elok 
amalkan surah al-Imran ayat 38 iaitu doa nabi Zakaria a.s yang 
bermaksud:
“ Wahai Tuhanku! Berikan kepadaku dari pihak-Mu keturunan yang baik, kerana sesungguhnya Engkaulah pendengar doa.”
7. Kita juga digalakkan menyentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan 
tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Petua membaca doa dan
 harapan semasa anak baru lelap elok diamalkan apabila anak ada masalah 
emosi atau tingkah laku.
8. Selepas solat lima waktu, amalkan doa dari surah al-Furqan-74 yang 
bermaksud, “ Tuhan kami, Anugerahkanlah kami isteri-isteri dan keturunan
 kami yang menyenangkan hati, dan jadikan kami imam bagi orang yang 
bertakwa” dan surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud:
“ Wahai Tuhanku, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang menegakkan solat. Wahai Tuhanku! Kabulkanlah doa kami.”
9. Sebaik-baik memohon doa adalah di waktu tengah malam. Seringlah 
bangun sepertiga malam untuk mendirikan solat solat sunat dan mendoakan 
kesejahteraan keluarga. Sebutlah nama anak secara spesifik untuk doa 
lebih berkesan.
Jadikanlah doa antara teknik berkesan membentuk peribadi anak-anak.
Doa-doa amalan
Antara ayat Al-Quran yang boleh diamalkan:
- Saat anak-anak bergaduh - Baca surah al-Baqarah, ayat 102, yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
- Anak-anak pandai belajar – Baca surah al-Anbiyaa, ayat 79, yang bermaksud, “Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu, dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmah kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak) dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.”
- Anak-anak lembut hati dan elakkan panas baran – Baca Surah al-Anbiyaa, ayat 69, yang bermaksud, “Kami berfirman, hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim.”
 
No comments:
Post a Comment